Pagi tadi kami telah pun mendedahkan rupa Perodua Axia 2023 ketika sesi prebiu untuk media, namun kesemua unit Axia yang dibawa keluar berkenaan masih sebahagian besarnya diliputi pelekat penyamaran. Ini dia dua gambar rasmi tanpa pelekat penyamaran sudah pun disiarkan oleh Perodua – ia sebenarnya adalah imej teaser, jadi hanya bahagian muka dan belakangnya sahaja didedahkan kali ini.
Pendedahan penuh Perodua Axia 2023 ini akan dibuat ketika ia dilancarkan minggu depan, iaitu pada 14 Februari 2023. Harga tentatif untuk Axia 2023 ini juga telah diumumkan sebelum ini iaitu bermula dari RM38,600 untuk Axia G, RM40,000 untuk Axia X, RM44,000 untuk Axia SE dan RM49,500 untuk Axia AV; semuanya harga atas jalan tidak termasuk insuran. Tempahan untuk model ini sudahpun dibuka bermula 1 Februari lalu.
Axia generasi kedua ini merupakan model ketiga dari Perodua yang diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) selepas Ativa dan juga Alza 2022. Ia masih kembar kepada Daihatsu Ayla dan Toyota Agya di Indonesia, tetapi kali ini Axia yang terlebih dahulu membuat kemunculan sulung global menunjukkan penglibatan besar Perodua dalam proses R&D hatchback segmen-A berkenaan.
Walau bagaimanapun, model ini masih dibekalkan enjin 1KR-VE 1.0 liter tiga-silinder VVT-i dari model generasi sebelumnya, menghasilkan kuasa 67 hp dan tork maksima 91 Nm. Namun enjin tersebut kini tidak lagi dipadankan dengan kotak gear automatik konvensional 4AT, sebaliknya digantikan dengan kotak gear Dual Mode CVT (D-CVT) yang sama seperti pada Ativa, Myvi face
lift dan juga Alza 2022.
Kotak gear yang jauh lebih canggih ini menggabungkan sistem CVT yang menggunakan tali sawat bersama gear sebenar bagi memberikan penggunaan bahan api, pecutan dan juga tahap kesenyapan yang lebih baik. Ia akan berfungsi seperti kotak gear CVT dengan torque converter biasa, memberikan nisbah gear menerusi tali sawat yang berubah kedudukan pada pulley yang memacu dan dipacu. Namun untuk kelajuan lebih tinggi, kuasa akan disalurkan kepada set gear helix bagi menyalurkan kuasa dengan efisien tanpa banyak kehilangan kuasa.
Dengan kotak gear D-CVT dan juga sistem Eco Idle, Axia 2023 kini mencapai penggunaan bahan api serendah 25.3 km/l berbanding 27.4 km/l pada model generasi sebelum ini. Bacaan berkenaan adalah berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC) yang lebih relevan dengan situasi pemanduan tempatan.
Pada Myvi facelift, kotak gear D-CVT ini bukan sahaja memberikan penjimatan bahan api 5% lebih baik berbanding model yang meggunakan kotak gear 4AT, malah pecutan 0-100 km/j adalah 20% lebih pantas. Jadi boleh dijangka Axia 2023 ini juga bakal memberikan prestasi pecutan lebih baik.
Ketika dilancarkan nanti kesemua empat varian Axia 2023 iaitu G, X, SE dan AV akan hadir dengan kombinasi unit rangkaian kuasa yang sama. Axia baharu ini masih akan menampilkan versi yang diberikan kotak gear manual, namun ia hanya akan muncul selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Sistem Eco Idle hanya diberi untuk Axia SE dan AV. Dua varian tertinggi ini juga diberikan mod Power, iaitu mod yang memberikan penghantaran kuasa lebih agresif menerusi butang yang diletakkan pada jejari kanan roda stereng sama seperti Ativa.
Lampu hadapan LED diberikan standard untuk varian X dan ke atas. Manakala varian SE dan AV dapat dibezakan menerusi pemadanan lampu nyalaan siang LED. Kesemua varian Axia 2023 ini diberikan kawalan elektrik, tetapi hanya varian SE dan AV menerima fungsi auto-lipat.
Sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin juga adalah standard untuk varian X dan ke atas. Apa yang menarik, kunci boleh dibuka menerusi penderia elektrostatik pada pembuka pintu seperti pada Ativa, lebih canggih dari Myvi yang masih menggunakan butang hitam.
Model varian tertinggi Axia AV kali ini turut diberikan paparan instrumen digital penuh dengan skrin TFT 7.0-inci. Meter digital berkenaan bukan sahaja menampilkan saiz yang sama seperti pada Ativa dan Alza, malah ia turut memberikan grafik visual yang sama menampilkan meter rpm berbentuk “gegelang 3D”.
Bagi model G dan X, ia diberikan tempat duduk biasa dengan perehat kepala berbentuk bantal di belakang. Manakala bagi model SE dan AV, ia hadir dengan tempat duduk “semi-bucket” di hadapan dan perehat kepala boleh laras di belakang. Namun hanya varian AV yang diberikan upholsteri separa kulit dua tona. Penapis filem keselamatan untuk cermin tingkap pula hanya diberikan pada SE dan AV.
Untuk keselamatan, varian AV hadir dengan enam-beg udara, berbanding hanya dua pada model generasi sebelumnya. Sistem bantuan pemanduan Perodua Smart Drive Assist (PSDA) turut ditawarkan. Sebelum ini, Axia facelift 2019 sudah pun ditawarkan dengan sistem Advanced Safety Assist (ASA, termasuk brek kecemasan automatik) pada varian terpilih.
Untuk model baharu ini masih belum didedahkan varian mana yang akan menerima sistem bantuan pemanduan berkenaan, dan adakah ia turut akan menerima fungsi pemanduan separa autonomi (cruise control adaptif dan bantuan kekal lorong) seperti Ativa, Myvi dan Alza, tetapi sistem kestabilan elektronik VSC adalah standard untuk semua varian. Namun dengan platform DNGA, model baharu ini dijangka menerima penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP.
Seperti yang diumumkan sebelum ini, Perodua Axia 2023 datang dengan lima pilihan warna badan iaitu Granite Grey, Lava Red, Glittering Silver, Ivory White (solid) dan warna baru yang juga warna hero untuk Axia D74A iaitu Coral Blue.
Nak Beli Kereta Perodua Boleh Hubungi Saya. SHAH, hanya di PeroduaBranch.online